Pemandu bas sekolah viral: 'Bagaimana TikTok benar akaun seperti ini begitu lama?' - Fahmi

Astro Awani
September 6, 2024 15:46 MYT
Fahmi berkata, beliau sudah berhubung dengan pihak Tiktok dan mereka memberi kerjasama baik kepada D11 PDRM. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mempersoalkan bagaimana TikTok boleh membenarkan akaun milik seorang pemandu bas yang kerap merakam murid perempuan sebagai 'content' beroperasi begitu lama.

Ringkasan AI
  • Bagaimana akaun TikTok milik pemandu bas yang kerap merakam murid perempuan sebagai 'content' boleh beroperasi lama tanpa tindakan, soal Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
  • Fahmi telah berhunung dengan TikTok dan bekerjasama dengan PDRM untuk menyiasat kes tersebut.
  • MCMC akan terus memberikan kerjasama teknikal kepada PDRM untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang terlibat dalam pelanggaran undang-undang berkaitan kes ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau sudah berhubung dengan pihak TikTok dan mereka memberi kerjasama baik kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia.
"Bila kita lihat kandungan atau 'content' yang dimuat naik dalam akaun tersebut, yang agak merisaukan bagaimana TikTok boleh membenarkan akaun seperti ini beroperasi dengan begitu lama.
"Lebih merisaukan, bila saya meneliti komen-komen dalam 'content' tersebut, yang juga membayangkan masalah yang (membuka) membolehkan beberapa jenayah lain dilakukan.
"Kandungan yang telah dihasilkan membolehkan komen-komen yang kalau kita teliti, agak merisaukan dan membimbangkan. Trend yang menonton seperti ini ... kita tak tahu berapa banyak akaun lain yang serupa seperti akaun ini yang ada dalam TikTok," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Perundangan Antarabangsa Kemudaratan dalam Talian 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes seorang pemandu bas tular kerana merakamkan video kanak-kanak terutama murid perempuan dalam kenderaan berkenaan.
Fahmi berkata, sudah meminta MCMC memberikan kerjasama secukupnya kepada PDRM sebagai satu agensi teknikal.
"MCMC akan bekerjasama dengan D11 Bukit Aman sekiranya pihak PDRM yang merupakan badan penguatkuasaan yang melakukan siasatan memohon supaya MCMC mengenal pasti mana-mana pihak yang lain yang mungkin sama ada dipercayai terlibat ataupun disyaki telah melakukan sebarang pelanggaran undang-undang negara kita," katanya.
Pemandu bas itu telah direman lima hari bermula hari ini. Perintah reman itu pula dibenarkan Majistret Suhaila Safi'uddin, selepas ia dimohon di Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi Jumaat.
Pemandu bas berusia 24 tahun itu akan direman sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001.
Suspek diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Batu Pahat.
#Fahmi Fadzil #TikTok #pemandu bas #Abang Crush pemandu bas sekolah
;