Pemandu bas rempuh 10 kenderaan mengaku tidak bersalah
Astro Awani
November 14, 2016 12:36 MYT
November 14, 2016 12:36 MYT
Seorang pemandu bas dihadapkan ke Mahkamah Khas Trafik Ipoh atas tuduhan memandu dengan tidak cermat dan berhati-hati sehingga menyebab kemalangan membabitkan 10 buah kenderaan berhampiran Terowong Menora, Ipoh pada Julai lalu.
Kadershah Sabaruddin, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan ketika tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hanum Mohmad Sah pada Isnin.
Mengikut kertas pertuduhan, Kadershah sebagai seorang pemandu bas ekspres dengan nombor pendaftaran BLB6936 telah didapati memandu kenderaan tersebut dengan tidak cermat dan berhati-hati semasa berada atas jalan raya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kilometer 265.8 Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS) pada 10 Julai lalu sekitar jam 2.45 petang.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 dan penjara 12 bulan.
Pegawai pendakwa Inspektor Kelvin Meng turut menawarkan jaminan RM5,000 ke atas tertuduh namun Kadershah merayu agar jumlah itu dikurangkan atas alasan tidak bekerja dan mempunyai tiga tanggungan.
Siti Hanum kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 4 Januari 2017.
Pada Julai lalu satu kemalangan telah dilaporkan di lebuh raya PLUS berdekatan Terowong Menora, membabitkan sebuah bas dan 10 buah kenderaan.
Berdasarkan video yang tersebar di media sosial dan alikasi whatsapp, bas itu kelihatan meluncur laju dari Terowong Menora sebelum merempuh beberapa kenderaan dari belakang.