Pemandu bas Rapid Penang parah ditikam penumpang kurang siuman

Astro Awani
Oktober 6, 2014 17:17 MYT
Pemandu bas Rapid Penang parah ditikam penumpang kurang siuman
Malang tidak berbau bagi seorang pemandu bas Rapid Penang apabila parah ditikam di paha kanan oleh seorang penumpang wanita yang dipercayai kurang siuman pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi di Relau, Georgetown menyebabkan mangsa, Aisyamudin Yaacob, yang berusia 27 tahun itu mengalami pendarahan teruk serta masih tidak sedarkan diri di wad kecemasan Hospital Pulau Pinang.
Difahamkan, wanita terbabit bertindak menyerang mangsa ekoran tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu bas tersebut yang dikatakan tidak memberhentikan bas di tempat kebiasaan wanita itu turun.
Mangsa dikatakan tidak mengetahui wanita terbabit kurang siuman ekoran baru dua minggu bertugas.
Mangsa yang cedera parah kemudiannya memberhentikan bas di tepi jalan sebelum meminta bantuan salah seorang rakan sekerjanya yang kemudiannya bertindak menghubungi ambulan.
Mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri akibat kehilangan banyak darah dan dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Farid Al Atrash Wahid mengesahkan kejadian itu.
Katanya, mangsa dilaporkan masih belum stabil ekoran tikaman di pahanya terkena saraf utama menyebabkannya berlaku pendarahan yang banyak.
Katanya, bas tersebut juga tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Difahamkan ketika kejadian, terdapat hanya lima penumpang yang berada di dalam bas tersebut.
Suspek yang berusia lingkungan 40-an bertindak melarikan diri sejurus kenderaan tersebut berhenti di tepi jalan.
Mior berkata sehingga kini, polis masih berusaha untuk mengesan wanita terbabit dan menyiasat kes tersebut dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
#bas #Penang #pulau pinang #RAPID
;