Pemandu bas persiaran terlibat nahas di Genting Highlands tiada lesen memandu - Polis

Bernama
Jun 29, 2024 19:53 MYT
Zaiham berkata siasatan lanjut juga mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Pemandu bas persiaran terlibat dalam kemalangan di Genting Highlands yang mengorbankan dua pelancong China didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata siasatan lanjut juga mendapati pemandu bas berusia 32 tahun itu mempunyai 27 saman trafik lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Beliau berkata dua mangsa lelaki yang meninggal dunia di tempat kejadian dikenal pasti sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49.
Kemalangan itu katanya melibatkan 18 pelancong asing selain masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong warga tempatan.
"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Bentong, Pahang untuk tindakan lanjut termasuk enam mangsa yang cedera. 13 mangsa lain yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi tadi, bas persiaran itu dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan ketika dalam perjalanan ke ibu negara di kilometer 16.5 Jalan Turun Genting Highlands.
-- BERNAMA
#warga tempatan #melanggar tembok #meninggal dunia #Pelancong asing
;