Pemandu bas persiaran ditahan positif ganja

Sinar Harian
Julai 20, 2024 08:00 MYT
Kakitangan MOTAC melakukan pemeriksaan bas ketika ops khas di Plaza Tol Hutan Kampung pada Sabtu.
ALOR SETAR: Seorang pemandu bas persiaran ditahan kerana positif ganja dalam Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam 2024 di Plaza Tol Hutan Kampung di sini pada Sabtu.
Lelaki berusia 46 tahun berasal dari Pulau Pinang ditahan kira-kira jam 4 pagi selepas menjalani ujian saringan air kencing oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Stien Van Lutam berkata, pemandu bas itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Pulau Pinang menuju ke Thailand dengan membawa kira-kira 42 penumpang.
"Selepas diperiksa, bas persiaran berkenaan dibenarkan meneruskan perjalanan dengan bantuan pemandu bas kedua," katanya pada sidang akhbar khas Ops Bas Persiaran di plaza tol itu.
Operasi bersepadu selama dua hari bermula Jumaat itu turut membabitkan ADDK dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Stien Van berkata, menerusi ops khas ini, JPJ telah memeriksa 1,116 kenderaan dan 138 kenderaan diambil tindakan.
"Sejumlah 329 notis pelbagai kesalahan telah dikeluarkan di atas kegagalan mematuhi peraturan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.
"Antara kesalahan yang dikesan adalah pemandu tiada lesen memandu, tiada insurans, tiada pemandu kedua, lebih muatan dan ubahsuai kenderaan," katanya.
Beliau berkata, MOTAC mengesan enam bas persiaran melakukan kesalahan termasuklah tidak menggunakan khidmat pemandu pelancong.
Katanya, operasi ini memfokuskan kepada pemeriksaan bas ekspres dan bas persiaran serta kenderaan pelancongan yang sering mengabaikan peraturan dan membahayakan penumpang serta pengguna jalan raya yang lain. - Sinar Harian
#MOTAC #pemandu bas #ganja #bas persiaran