Pemandu bas, lori perlu lampir slip pemeriksaan brek sebelum mulakan perjalanan - JPJ Perlis
Adie Sufian Zulkefli
Februari 8, 2024 17:44 MYT
Februari 8, 2024 17:44 MYT
KANGAR: Pemandu kenderaan berat seperti bas dan lori di Perlis perlu melampirkan slip pemeriksaan sistem brek yang dijalankan di Puspakom bagi membuktikan bahawa kenderaan mereka selamat sebelum memulakan perjalanan menuju ke destinasi yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata, mengambil iktibar daripada kemalangan ngeri baru-baru ini, pihaknya melihat kegagalan teknikal yang sering diabaikan oleh pengguna kenderaan berat ini tidak seharusnya dipandang ringan.
“Kita (JPJ Perlis) baru melakukan perbincangan bersama Puspakom berhubung aspek seperti ini kerana saya lihat aspek teknikal (kegagalan pemeriksaan sistem brek) boleh menjadi antara punca kemalangan dan ia tidak seharusnya berlaku.
“Oleh hal demikian, kita sering melakukan pemeriksaan sistem brek terutama pada bas disebabkan Perlis menjadi destinasi permulaan kepada sesuatu destinasi dan di situ, pemandu kenderaan berat ini perlu melampirkan satu slip pemeriksaan (sistem brek) jika mereka mahu bergerak ke mana-mana destinasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau perjalanan Ops Khas Bersepadu Bulan Perayaan 2024 yang dijalankan di Jalan Alor Setar-Kangar, Behor Temak, di sini, malam tadi.
Katanya, menerusi slip pemeriksaan itu, pihaknya boleh mengesan seandainya kenderaan berat berkenaan sudah pun menjalani pemeriksaan sistem brek ataupun tidak.
“Jadi jika dia bergerak ke mana-mana destinasi, sebagai contoh dari Perlis ke Kuala Lumpur, kita boleh mengetahui sama ada dia sudah menjalani pemeriksaan sistem brek atau pun tidak dengan melihat pada slip pemeriksaan berkenaan.
“Setakat ini, Alhamdulilah, kejadian kegagalan sistem brek ini tidak berlaku di Perlis disebabkan Perlis adalah permulaan kepada sesuatu perjalanan seterusnya seperti ke Alor Setar, Butterworth dan Kuala Lumpur,” katanya.
Terdahulu, beliau meluangkan masa meninjau perjalanan ops berkenaan yang dilaksanakan di kedua-dua arah Jalan Kangar-Alor Setar di Behor Temak dan Jalan Arau-Kangar di Repoh, Kangar.
Fatimah berkata, penguatkuasaan menerusi ops yang dijalankan di negeri itu saban tahun berjaya mengurangkan sembilan kesalahan utama peraturan jalan raya - termasuk tidak mematuhi lampu isyarat merah serta membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan seperti di garisan berkembar - kepada 20 peratus.
Statistik terkini Ops Khas Bulan Perayaan JPJ Negeri Perlis bagi tempoh 1 hingga 5 Februari tahun ini mencatatkan sebanyak 2,871 kenderaan yang sudah diperiksa, dan daripada jumlah itu 205 kenderaan diambil tindakan dengan jumlah kesalahan sebanyak 485.