Pemandu bas ‘Live' TikTok ketika memandu berdepan tindakan berat
Adie Sufian Zulkefli
April 7, 2024 09:30 MYT
April 7, 2024 09:30 MYT
ALOR SETAR: Pemandu bas ekspres yang dikesan menggunakan telefon bimbit sambil membuat siaran langsung menerusi aplikasi TikTok ketika memandu akan diambil tindakan serta merta oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) ini.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, pihaknya akan meletakkan pegawai penyamaran dalam setiap bas ekspres untuk memastikan tiada yang melakukan kesalahan itu.
Beliau berkata, selain itu kerjasama orang awam merakam video atau gambar jika ada pemandu yang bertindak demikian sangat dialu-alukan.
"Mereka boleh menghantar kepada pihak kami beserta tarikh dan lokasi perjalanan bagi memudahkan pihak kami melakukan tindakan.
"Sebelum ini memang ada kes seperti.ini (guna telefon bimbit dan buat siaran langsung di Tik Tok, tetapi untuk operasi HRA ini, belum ada aduan diterima setakat ini.
"Namun jika dikesan melakukan kesalahan ini, mereka boleh diambil tindakan terus tetapi perjalanan tetap boleh diteruskan," katanya pada sidang media di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini malam tadi.
Selain itu, Lokman turut melakukan pemeriksaan pada bas ekspres menggunakan alat bagi memastikan ketebalan tayar supaya tidak botak dan signal dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Lokman berkata, sepanjang operasi HRA 2024 ini, lima pemandu kenderaan awam bas ekspres yang didapati positif dadah jenis Methampetamine.
Katanya, ia membabitkan dua di Sarawak, satu di Kota Bahru, Kelantan dan dua lagi di Alor Setar, Kedah.
“Dua yang dikesan di Alor Setar berusia 31 dan 67 tahun yang disyaki mengambil bahan terlarang itu ketika menjalani ujian saringan air kencing secara rawak di terminal ini, malam tadi.
"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Alor Setar menuju ke Pantai Timur,” katanya.
Dalam pada itu, Lokman berkata, menerusi operasi bagi tempoh 1 hingga 5 April lalu, JPJ melakukan pemeriksaan sebanyak 163,558 kenderaan di negara ini.
Daripada jumlah itu, katanya, 21,742 kenderaan diambil tindakan manakala 39,066 (24 peratus) notis pelbagai kesalahan dikeluarkan atas kegagalan mematuhi arahan dan undang-undang keselamatan jalan raya yang ditetapkan.