Pemandu bas hisap rokok sambil isi minyak, pemilik stesen buat aduan pada KPDN
Aida Aziz
Februari 29, 2024 06:50 MYT
Februari 29, 2024 06:50 MYT
MUALLIM: Seorang pemandu bas persiaran dikesan mengisi minyak diesel sambil merokok di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah Selatan, dekat Behrang, di sini.
Perbuatan itu dikesan menerusi satu video durasi pendek yang tular di media sosial, sehingga mendapat banyak reaksi negatif daripada warga maya.
Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, pemilik stesen minyak berkenaan telah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Aduan itu dibuat bagi membolehkan tindakan diambil di atas perbuatan dilakukan individu tersebut.
"Pada 29 Februari, telah terkesan satu video berdurasi pendek di media sosial berkaitan pemandu bas persiaran sedang mengisi minyak diesel sambil merokok di sebuah stesen minyak.
"Video ringkas dengan status ‘risau pulak tengok isi minyak sambil hisap rokok, nasib baik tak jadi apa-apa dekat Petron Behrang ni semalam.’
"Hasil semakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim mendapati kejadian berlaku pada 25 Februari lalu," katanya dalam kenyataan malam tadi.
Mohd Hasni berkata, kesalahan yang dilakukan boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun sekiranya disabit kesalahan.
Justeru, katanya, polis memandang serius berhubung kejadian itu dan menasihati orang ramai supaya tidak merokok di kawasan larangan khususnya di stesen minyak yang boleh menyebabkan cedera, bencana dan membahayakan nyawa orang ramai.