Pemandu bas ekspres mengaku tidak bersalah sebabkan kematian
Astro Awani
Mac 28, 2017 12:35 MYT
Mac 28, 2017 12:35 MYT
Seorang pemandu bas ekspres mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi terhadap pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, semalam.
Muhd Farizan Awang, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Shamshol Azwa Martadza.
Mengikut pertuduhan, Mohd Farizan didakwa melakukan kesalahan itu di km 151.9 Lebuhraya Utara Selatan dekat susur keluar Bukit Tambun arah utara kira -kira jam 4.20 pagi Isnin.
Bagi pertuduhan itu, dia dakwa dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 dan RM20,000 selain lesen memandu digantung.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala Muhd Farizan memohon jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara tiga orang anak dan isterinya tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandunya digantung sehingga selesai kes.
Kes disebut semula pada 4 Mei depan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Afiq Nazrin Zaharinan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi Isnin, Norazah Azizan meninggal dunia di tempat kejadian manakala 20 lagi cedera.