Pemandu bas ekspres jalani ujian air kencing setiap hari
Bernama
April 22, 2014 22:30 MYT
April 22, 2014 22:30 MYT
Semua pemandu bas ekspres akan menjalani ujian air kencing di semua terminal bas pada setiap hari mulai hari ini, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi.
"Jika dahulu kita buat hanya pada setiap musim perayaan tetapi kini kita akan buat setiap hari untuk memastikan tahap kesihatan pemandu bas sentiasa berada dalam keadaan baik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kemalangan bas di sini hari ini.
Beliau berkata operasi yang melibatkan seramai kira-kira 8,600 pemandu ini akan dilaksanakan dengan kerjasama di antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.
Jelasnya lesen memandu akan ditahan serta-merta sekiranya pemandu tersebut gagal (positif) dalam ujian air kencing itu.
Selain dari itu, katanya pihak JPJ juga akan membuat operasi penyamaran sebagai penumpang setiap hari bermula hari ini.
"Anggota JPJ ini akan menyamar dan merekodkan kesalahan-kesalahan para pemandu sepanjang perjalanan, dan sekiranya terdapat kesalahan saman akan dikeluarkan serta-merta sebaik bas tersebut sampai ke destinasi," katanya.