Pemandu bas 'dicekup' guna telefon ketika memandu
Sinar Harian
April 27, 2023 11:59 MYT
April 27, 2023 11:59 MYT
SHAH ALAM: Dua pemandu bas ekspres dikenakan tindakan akibat kedegilan memandu sambil menggunakan telefon bimbit, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kesalahan itu dikesan ketika penyamaran anggotanya sebagai penumpang ketika pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 pada 17 dan 18 April lalu.
Menurutnya, pelbagai kesalahan dikesan iaitu penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam berterusan, tatacara kelakuan pemandu dan kesalahan teknikal.
"Dua pemandu itu masing-masing dikesan ketika dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu ke Shah Alam.
"JPJ Selangor telah mengambil tindakan saman terhadap dua pemandu berusia lingkungan 40-an itu serta pemilik," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu, kesalahan yang dikesan ke atas bas lain ialah memotong di garisan berkembar, menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan selain tata kelakuan pemandu.
Katanya, pemandu diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
"Ini demi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang selamat tiba ke destinasi dituju," ujarnya.
Pada 19 April lalu, Timbalan Pengarah JPJ Negeri Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, kaedah penyamaran didapati berkesan bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap pemandu bas yang melakukan kesalahan. -Sinar Harian