Pemancing udang dikhuatiri lemas di Sungai Besut
Bernama
September 23, 2023 12:46 MYT
September 23, 2023 12:46 MYT
JERTIH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing udang galah bersama seorang rakannya berhampiran Empangan Pengkalan Nangka (Tok Gong) di Sungai Besut, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Muhammad berkata mangsa hilang dikenali sebagai Hussin Jusoh, 46, dari Kampung Telaga Papan, Pasir Putih, Kelantan, manakala rakannya yang selamat dikenali sebagai Mohd Faizol Ya, 35.
"Pihak polis menerima laporan kejadian itu pada pukul 2.50 pagi ini (Sabtu) sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan pada pukul 8 pagi ini.
"SAR melibatkan anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya SAR diaktifkan menggunakan dua bot penyelamat dengan melakukan carian di permukaan air.
Abdul Rozak berkata sebelum kejadian mangsa bersama Mohd Faizol dikatakan menaiki bot gentian kaca dan berlabuh di tepi jeti Kampung Amir berhampiran pintu Empangan Pengkalan Nangka.
Beliau berkata ketika dua sahabat itu sedang memancing, bot mereka dihanyutkan arus sungai yang deras sebelum tersangkut pada kayu dan terbalik.
"Rakan mangsa sempat berenang ke tebing sungai tetapi mangsa dihanyutkan arus dan gagal diselamatkan," katanya.
-- BERNAMA