Pemancing tercampak keluar bot ditemukan lemas

Bernama
Jun 11, 2020 06:08 MYT
Mangsa tercampak jatuh ke dalam laut apabila bot berpusing beberapa kali selepas enjinnya dihidupkan. - Gambar hiasan
Pemancing yang didakwa tercampak keluar dari sebuah bot fiber di perairan Pulau Layak di Rompin sejak malam Selasa lalu, ditemukan lemas petang Khamis.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata mayat Md Fadhil Hanafi Chik, 29, dari Endau, Johor ditemukan sekitar 4 petang kira-kira satu batu nautika dari lokasi mangsa tercampak keluar.
"Mayat mangsa ditemukan terapung oleh abang mangsa yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang bersambung pagi ini," menurutnya dalam kenyataan media di sini semalam.
Beliau berkata operasi SAR itu melibatkan 53 pegawai dan anggota serta sembilan bot, antaranya milik APMM, polis dan bomba selain dibantu nelayan tempatan.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Md Fadhil Hanafi dikatakan keluar memancing bersama rakannya, Suhardi Sumarno, 39, pada Selasa lalu sebelum mereka tercampak keluar apabila bot itu berpusing beberapa kali selepas enjinnya dihidupkan.
Suhardi dalam keterangannya kepada polis berkata dia berjaya berenang ke pantai Pulau Layak sebelum diselamatkan bot APMM yang membuat rondaan di kawasan pantai pagi Rabu.
-- BERNAMA
#Amran Daud #APMM #bomba #bot #bot berpusing #bot fiber #lemas #mangsa #mayat #Md Fadhil Hanafi Chik #nelayan #pemancing #polis #Rompin
;