Pemancing Kampung Geobilt yang dilaporkan hilang selamat

Astro Awani
September 9, 2019 03:45 MYT
Empat pemancing yang dilapor hilang dari Kampung Goebilt, Sarawak ditemui selamat. - Foto APMM
Seluruh penduduk Kampung Geobilt di sini lega apabila empat orang pemancing yang dilaporkan tidak pulang ke rumah pada pagi semalam ditemui selamat oleh penduduk kampung.
Perkara ini disahkan Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Robert Teh Geok Chuan yang memaklumkan mangsa yang dikhuatiri hilang telah selamat tiba di jeti Kg Bako pada lebih kurang jam 10.30 pagi tadi.
"Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat.
"Ketika ditemui di kawasan perairan Pulau Lakei, mereka dikatakan sedang memancing dan tidak terdapat sebarang kecemasan atau kerosakan pada enjin bot," katanya.
BACA: Empat pemancing Kampung Goebilt dikhuatiri hilang - APMM
Operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan pada 10.30 pagi. Kesemua mangsa telah kembali kepada ahli keluarga masing-masing.
Pihak Maritim Malaysia mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan seperti Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta penduduk kampung yang telah keluar mencari mangsa.
#bot #hilang #Kampung Geobilt #mangsa #maritim #operasi #pemancing #Pulau Lakei #Robert Teh Geok Chuan #selamat