Pemancing hilang di Sungai Terengganu mungkin kejang otot - Polis
Nur Fazlizai Ali
Februari 9, 2019 15:40 MYT
Februari 9, 2019 15:40 MYT
Polis tidak menolak kemungkinan pemancing yang hilang ketika menyelamatkan lima mangsa pikap terjunam di dalam muara Sungai Terengganu, mengalami kekejangan otot dan gagal berenang ke darat.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata mangsa juga merupakan individu pertama yang cuba menyelamatkan ahli keluarga tersebut.
“Kita percaya (mangsa kejang otot) kerana mangsa adalah yang pertama terjun untuk menyelamatkan mangsa pikap dan beliau berada lama di dalam air. Namun ini hanya teori kami sahaja, belum dapat dipastikan punca sebenar mangsa lemas,” katanya.
Beliau pada masa sama memuji tindakan berani dan pantas orang awam dalam usaha menyelamatkan kesemua mangsa.
Kesemua mangsa yang berada dalam kenderaan jenis Mitsubishi Storm itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Pada Jumaat, seorang pemancing dilaporkan hilang ketika cuba menyelamatkan lima sekeluarga dalam sebuah kenderaan terjunam ke dalam muara Sungai Terengganu.
Usaha mencari dan menyelamat mangsa Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, giat dijalankan.
Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu berjaya menaikan pacuan empat roda yang terjunam di muara Sungai Terenggani pada pagi Sabtu.
Pihak bomba mengambil masa 30 minit dengan menggunakan teknik apungan bagi membawa keluar kenderaan yang tenggelam sedalam tujuh meter.