Pemancing dikhuatiri lemas di Tasik Gubir
Bernama
Januari 2, 2023 23:09 MYT
Januari 2, 2023 23:09 MYT
SIK: Seorang lelaki berumur lingkungan 20-an dikhuatiri lemas di Tasik Gubir dekat sini pada petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.57 petang, yang kemudian terus menggerakkan anggotanya ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
"Pusat Gerakan Operasi Kedah terima panggilan kecemasan mangsa lemas melalui MERS 999 dan jentera-jentera serta bot dengan kekuatan lima anggota bersama pegawai, telah digerakkan ke lokasi kejadian di Tasik Gubir.
"Jarak lokasi dari balai kita ialah 43 kilometer...Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini," katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik DSP Abdull Razak Osman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata berdasarkan maklumat awal diperoleh kemungkinan mangsa ke Tasik Gubir untuk memancing.
"Siasatan masih dijalankan dan operasi mencari dan menyelamat akan bersambung esok," katanya.
-- BERNAMA