Pemancing dikhuatiri hilang di Pulau Payar ditemui selamat

Astro Awani
Februari 21, 2016 18:29 MYT
Pihak berkuasa telah menerima panggilan kecemasan daripada sistem komunikasi radio berkenaan, yang mengatakan bot tersebut hanyut akibat masalah kebocoran. - Gambar fail
Kesemua kaki pancing yang dikhuatiri hilang selepas bot mereka dikatakan karam kira-kira 10 batu nautika di selatan Pulau Payar malam tadi, ditemui selamat petang hari ini.
Kumpulan 19 pemancing tersebut telah diselamatkan sebuah bot nelayan Kelas B kira-kira jam 2.30 petang.
Ketua Pengkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata semua mangsa hanya berdepan dengan masalah kebocoran bot dan dihanyutkan arus, bukan karam seperti yang dilaporkan sebelumnya.
Jumlah kaki pancing itu juga adalah 19 orang kesemuanya, bukan 15 seperti yang dilaporkan.
Berdasarkan kenyataan Ahmad Kamal, semua mangsa masih berada di dalam bot apabila mereka ditemui kira-kira 18 batu nautika daripada lokasi insiden itu dilaporkan berlaku.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah menerima panggilan kecemasan daripada sistem komunikasi radio berkenaan, yang mengatakan bot tersebut hanyut akibat masalah kebocoran.
Dalam proses menyelamaytkan mereka, bot kaki pancing itu telah ditunda sebuah bot nelayan Kelas B dan dijangka tiba di pangkalan APMM Kuala Kedah dalam masa empat jam.
Kesemua mangsa telah dipindahkan ke bot nelayan itu semasa ia ditunda.
#APMM #bot karam #bot nelayan #masalah kebocoran #pulau payar
;