Pemalsuan cap sempadan: Seorang lagi pegawai Gred KP19 Imigresen direman

Astro Awani
November 22, 2020 12:54 MYT
Suspek dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan reman. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Seorang lagi pegawai Jabatan Imigresen dikenakan perintah tahanan reman hari ini bagi membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dalam pemalsuan cap sempadan di pintu masuk antarabangsa negara.
Sebelum itu suspek yang juga pegawai dari Gred KP19 itu dibawa oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan reman.
Majistret Siti Roslizawati Mohd Zanin kemudiannya membenarkan anggota yang bertugas di KLIA2 itu direman selama 6 hari sehingga Jumaat depan.
BACA: SPRM rampas empat kereta mewah dipercayai milik kakitangan kerajaan Gred KP19
BACA: Op Selat: Pegawai Imigresen di KLIA antara tiga direman SPRM
Dengan penahanan baharu itu, kini seramai 54 individu termasuk 34 pegawai Imigresen yang bertugas di KLIA, KLIA2 selain dari Bangunan Sultan Ismail Johor Bahru, Johor ditahan menerusi Op Selat yang dilancarkan SPRM pada 16 November lepas.
Op Selat digerakkan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen, yang membabitkan serbuan di Putrajaya; Johor Bahru, Johor; Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Siasatan kes kini dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.
#pegawai Jabatan Imigresen #cap palsu #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia #SPRM #KLIA #KLIA2 #pemalsuan cap Imigresen #Gred KP 19 #Gred KP19 #op selat #OPS SELAT
;