Pemalsuan cap sempadan: Empat lagi individu ditahan SPRM termasuk seorang pegawai Imigresen
Fareez Azman
November 20, 2020 15:05 MYT
November 20, 2020 15:05 MYT
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung sindiket rasuah dalam pemalsuan cap sempadan di pintu masuk antarabangsa negara.
Keempat-empat individu, masing-masing berusia diantara 28 hingga 52 tahun itu ditahan dalam Op Selat termasuk seorang pegawai imigresen dan tiga lagi ejen pekerja asing.
Hasil pendedahan ini mendapati sindiket dipercayai melibatkan rangkaian aktiviti jenayah penyeludupan antarabangsa khusus dari China, Vietnam, Indonesia dan Bangladesh.
Menurut sumber, sindiket mensasarkan pelawat yang telah disenaraihitam yang ingin masuk ke Malaysia. Sindiket juga akan memaklumkan nama, nombor pasport dan jadual penerbangan pelawat kepada ejen-ejen di Malaysia.
Ejen kemudiannya akan berhubung dengan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) untuk mengatur kaunter bagi membantu meloloskan pekerja asing atau pelawat masuk ke negara ini.
Bagi proses keluar pula, mana-mana pelawat yang disenaraihitam, pas lawatan tamat tempoh dan pasport palsu juga akan menggunakan sindiket di kaunter-kaunter tertentu di KLIA dan KLIA 2.
Setakat hari ini, seramai 50 orang telah ditahan dalam Op Selat. 28 pegawai imigresen, 17 ejen pekerja asing dan 5 orang awam. Lebih RM800,000 wang tunai, 26 kereta mewah dan 4 buah motosikal berkuasa tinggi telah dirampas. Nilai ini tidak termasuk rumah, tanah, barangan kemas dan sebagainya.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali ketika dihubungi tidak menolak lebih ramai lagi akan ditangkap dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.
#SPRM
#Kuala Lumpur
#KLIA
#KLIA 2
#Lolos
#Sindiket Pemalsuan Cap Sempadan
#sindiket
#Pegawai Imigresen
#Rasuah
#terlibat
#pekerja asing
#siasatan
#op selat
#OPS SELAT