Pemaju perumahan perlu bina lebih banyak rumah mampu milik

Bernama
April 1, 2016 07:23 MYT
Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk tujuan itu seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA). - Gambar hiasan
Pemaju perumahan di negara ini perlu lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu mengejar keuntungan semata-mata sebaliknya membantu kerajaan membina lebih banyak projek perumahan mampu milik.
Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata pihak berkenaan disaran membantu merealisasikan aspirasi kerajaan untuk memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sendiri.
Beliau berkata pemain industri juga seharusnya lebih peka dengan keadaan ekonomi semasa seterusnya memberi keutamaan dalam membina perumahan, premis perniagaan atau apa sahaja fasiliti bersesuaian yang bukan sahaja mampu dimiliki tetapi juga bermanfaat untuk rakyat.
Katanya, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk tujuan itu seperti projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), selain menjalin kerjasama erat dengan pelbagai syarikat dan pemaju perumahan atau hartanah yang beroperasi di negara ini.
"Setiap perniagaan memang memerlukan keuntungan untuk meneruskan operasi dan kelangsungannya. Bagaimanapun saya merasakan segala inisiatif dan langkah yang dilakukan seperti pembinaan projek perumahan mampu milik masih akan memberi keuntungan kepada pemaju.
"Selain itu, kerajaan akan terus memperkukuh rangkaian kerjasama yang sedia terjalin dengan pemain industri dan yakin hasilnya kelak akan dapat dinikmati semua," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri 'Property Insight Prestigious Developer Awards' (PIPDA) kali ke-2, di sini Jumaat malam.
Anugerah itu bagi memberi pengiktirafan dan mengetengahkan pembangunan berkualiti beberapa pemaju terbaik Malaysia dan projek 'istimewa' mereka pada masa ini yang mencorak landskap Malaysia, menyokong pembangunan negara dan kemajuan pembangunan untuk melonjakkan lagi negara ke arah wawasan sebagai sebuah negara dunia pertama pada 2020.
Halimah berkata penganjuran PIPDA memberi kesan positif kepada mereka yang terlibat dalam sektor berkaitan kerana selain memberi pengiktirafan kepada setiap kejayaan, ia juga merupakan platform terbaik memperkukuh hubungan antara pemain industri.
Pada majlis berkenaan, Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sime Darby Datuk Ir Jauhari Hamidi dinobatkan sebagai Personaliti Terbaik, manakala Pengarah Urusan Andaman Group Datuk Seri Dr Vincent Tiew sebagai Pemaju Muda Cemerlang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Rivertree Group Datuk Simon David Leong pula menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan, sementara Pengarah Urusan Kumpulan Hatten Group of Companies, Datuk Colin Tan sebagai Personaliti Paling Berinspirasi.
#Halimah Mohamed Sadique #pemaju perumahan #rumah mampu milik
;