Pemaju, kontraktor, pengilang di Johor diarah selesai isu penempatan pekerja asing

Bernama
Februari 1, 2024 04:00 MYT
Mohd Hairi berkata, arahan itu dikeluarkan, susulan aduan berhubung permasalahan penempatan pekerja asing di penempatan awam yang diterima pihaknya. - Gambar FB Media Digital Johor
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengarahkan pemaju dan kontraktor serta pengilang di seluruh negeri itu, untuk menyelesaikan isu penempatan pekerja asing dengan menempatkan mereka di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) berdaftar, dalam tempoh dua bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, arahan itu dikeluarkan, susulan aduan berhubung permasalahan penempatan pekerja asing di penempatan awam yang diterima pihaknya.
Beliau berkata, arahan penempatan itu perlu dipatuhi selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
"Permasalahan penempatan pekerja asing dan aduan kacau ganggu di penempatan awam sering kali diajukan, saya tegaskan perkara ini amat serius dan kerajaan Johor tidak akan sesekali berkompromi dalam menangani isu ini.
"Saya tidak mahu Johor terpalit dengan isu penempatan pekerja asing, penindasan ataupun sebarang tindakan yang akhirnya menjerumus kepada isu buruh paksa sehingga mencemarkan imej negeri, malah negara secara keseluruhan. Secara tidak langsung, ini menyumbang kepada kurangnya keyakinan pelabur asing yang ingin melabur ke negeri Johor," katanya pada satu kenyataan, pada Khamis.
Mohd Hairi berkata, isu penempatan pekerja asing itu turut melibatkan pekerja tapak pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.
Beliau bagaimanapun berkata, satu pertemuan bagi menyelesaikan isu tersebut bersama Pengarah JTK Johor Mohd Azmi Muhammud dan pihak pengurusan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), telah diadakan di Bangunan CLQ di Jalan Storey, di sini, hari ini.
Mohd Hairi berkata, berdasarkan penerangan daripada pihak pengurusan MRT Corp, seramai 305 pekerja daripada tiga syarikat kontraktor yang dilantik, ditempatkan di luar CLQ sehingga Disember tahun lepas iaitu di sekitar Taman Wadi Hana, Taman Abad, Stulang Laut dan Jalan Bukit Meldrum.
"Sehingga semalam, seramai 401 pekerja sudah ditempatkan di CLQ yang boleh menempatkan maksimum sehingga 1,200 orang pekerja, dalam satu-satu masa.
"Pihak pengurusan MRT Corp juga memaklumkan CLQ yang serba lengkap disediakan ini percuma dan tidak ada sebarang kos atau bayaran dikenakan kepada syarikat, mahupun pekerja," katanya.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata, sehingga Disember tahun lepas, terdapat sebanyak 276 penginapan atau CLQ dengan kapasiti 113,598 pekerja terdapat di Johor, namun masih terdapat lagi penempatan yang tidak diisi dengan pekerja.
"Kerajaan negeri sedar jumlah ini masih tidak dapat menampung semua bilangan pekerja yang terdapat di negeri ini, namun setidak-tidaknya kemudahan CLQ ini dapat dimanfaatkan supaya tidak menjadi satu projek 'gajah putih' satu hari nanti," katanya.
Beliau turut meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah mengenal pasti lokasi penginapan pekerja asing di penempatan awam serta menjalankan operasi bersepadu bersama JTK Negeri bermula Mei, dalam usaha memastikan tiada lagi pekerja asing yang tinggal di penempatan awam. - BERNAMA
#MRT Corp #pbt #pekerja asing #penempatan awam
;