Pemaju, Kontraktor DBKL Wajib Guna Sistem Dalam Talian-Datuk Bandar KL

Bernama
Januari 7, 2013 19:00 MYT
Permohonan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) oleh kontraktor dan pemaju diwajibkan dibuat secara dalam talian menerusi 'KUL Submission', kata Datuk Bandar Datuk Ahmad Phesal Talib.
Beliau berkata kaedah itu dapat menjimatkan kos dan masa kerana pemaju dan kontraktor tidak lagi perlu menghantar dokumen seperti pelan secara manual yang kadang-kala mencecah 30 salinan.
"Bagaimanapun DBKL memberikan tempoh sehingga akhir tahun ini kepada pemaju dan kontraktor untuk beralih daripada sistem manual kepada sistem permohonan secara dalam talian," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sesi tunjuk ajar kaedah permohonan projek secara dalam talian di sini, hari ini.
Sesi tunjuk ajar itu diadakan selama 10 hari mulai hari ini bertujuan memberi kefahaman dan kemahiran insentif kepada kontraktor dan pemaju mengenai penggunaan sistem 'KUL Submission'.
Ahmad Phesal berkata 'KUL Submission' adalah setanding dengan sistem dalam talian di beberapa negara termasuk United Kingdom, Singapura, Hong Kong dan Australia.
#Datuk Bandar #DBKL #Kontraktor
;