Pemaju hartanah nafi dakwaan blogger tentang serangan buaya di Forest City
Bernama
Mac 12, 2024 09:20 MYT
Mac 12, 2024 09:20 MYT
JOHOR BAHRU: Pemaju hartanah Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) menafikan dakwaan seorang blogger bahawa terdapat seramai 20 hingga 30 mangsa serangan buaya mengakibatkan kecederaan dan kematian di kawasan Forest City di Iskandar Puteri.
CGPV dalam kenyataan di sini memberitahu hantaran berkenaan tidak berasas dan berniat jahat selain mengundang persepsi negatif dalam kalangan masyarakat, menjejaskan reputasi serta mengganggu operasi perniagaan.
"Sejak beroperasi selama lapan tahun, Forest City tidak pernah menerima sebarang aduan serangan, kecederaan mahupun kematian akibat reptilia itu. Tiada juga laporan polis tentang insiden yang disebutkan oleh hantaran media sosial tersebut," menurut CGPV semalam.
Justeru itu syarikat berkenaan telah membuat satu laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Tanjung Kupang.
"Satu laporan polis telah dibuat oleh wakil syarikat dan perkara tersebut kini dalam siasatan pihak polis. Syarikat berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanggungjawab," menurut CGPV.
Pemaju hartanah berkenaan turut menggesa semua pengguna media sosial dan pencipta kandungan serta pempengaruh untuk menyemak sumber maklumat mereka serta berhati-hati sebelum membuat hantaran di media sosial.
"Seseorang pengguna media sosial tidak seharusnya menyebarkan maklumat yang tidak sahih, tidak berasas dan berniat jahat sekiranya tidak mahu berdepan dengan implikasi undang-undang," tambah CGPV.
Terdahulu tular satu video dalam bahasa Mandarin berdurasi 46 saat memaparkan seorang lelaki dipercayai warga tempatan ditanya seorang lelaki warga China berhubung papan tanda amaran yang bertulis "Danger Crocodiles, No Swimming" di Forest City.
-- BERNAMA