Pemaju gagal siapkan projek ikut jadual akan disenarai hitam

Bernama
Ogos 30, 2024 06:15 MYT
Zulkifli berkata kerajaan negeri memandang serius sebarang kelewatan projek yang diluluskan kepada pemaju mengikut jadual ditetapkan kerana ini akan menjejaskan pembangunan yang telah dirancang. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas dengan menyenarai hitam pemaju yang gagal menyiapkan projek di Pahang selepas lanjutan tempoh sebanyak tiga kali diberikan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata selain disenarai hitam, kegagalan pemaju terbabit juga akan dilapor kepada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius sebarang kelewatan projek yang diluluskan kepada pemaju mengikut jadual ditetapkan kerana ini akan menjejaskan pembangunan yang telah dirancang.
"Pelbagai mekanisme digunakan bagi memastikan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan. Antaranya Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Projek meningkatkan kekerapan ke tapak projek dan sebagainya.
"Kerajaan negeri melalui peruntukan 2023 meluluskan RM319.5 juta bagi membiayai 211 projek pembangunan di Pahang dan didapati hanya empat projek lewat jadual, selebihnya di pelbagai peringkat pelaksanaan serta mengikut jadual ditetapkan," menurutnya dalam kenyataan malam Jumaat.
Zulkifli berkata pada tahun ini, sebanyak RM374.9 juta diperuntuk bagi menampung pelaksanaan 249 projek di seluruh Pahang yang merangkumi 10 agensi pelaksana dan setakat 31 Julai lepas, terdapat lima projek lewat jadual.
Beliau berkata bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang dilaksanakan oleh agensi persekutuan, sebanyak RM3.19 bilion telah diperuntuk.
"Projek-Projek ini dipantau rapi oleh Pejabat Pembangunan Negeri Pahang melalui Majlis Tindakan Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah.
"Kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dan memudah cara untuk memastikan semua projek yang diluluskan dapat dilaksana mengikut jadual ditetapkan bagi memastikan rakyat Pahang menerima manfaat menerusi projek tersebut demi kesejahteraan bersama," katanya.
-- BERNAMA
#RMK12 #cidb #tindakan tegas #disenarai hitam