Pemaju disaran bina lebih banyak perumahan berpendapatan rendah di bandar - PM

Afiezy Azaman
Ogos 17, 2023 11:35 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di ibu negara, pada Khamis.. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Pemaju perumahan disaran bina lebih banyak projek perumahan untuk penduduk berpendapatan rendah terutamanya di kawasan bandar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, golongan berpendepatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan.
"Saya menekankan berulang kali supaya kita seimbangkan kedua-duanya, Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur harus dipacu pertumbuhan dengan bangunan indah, kemudahan, kediaman, restoran dan hotel kerana ia petanda satu kota berjaya dan makmur.
"Tetapi harus ada juga kelainan dan keunikannya iaitu ibu kota yang prihatin, ibu kota Madani maknanya sebahagian besar rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah tidak boleh disisihkan daripada arus pembangunan itu.
"Maka tanggungjawab bersama kerajaan, pihak swasta supaya memastikan tiap pembangunan perumahan yang besar mesti ada perumahan sampingan untuk rakyat bawah," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di ibu negara, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, terdapat banyak negara termasuk Malaysia yang meminggirkan golongan berpendapatan rendah di sesebuah kota yang maju.
"Mereka keluar dari kota atau tinggal di kawasan sesak di bandar.
"Jadi kita tidak mahu perkara ini berterusan dan atas sebab itu ia memerlukan kejuruteraan sosial di mana dasar kerajaan termasuk Kerajaan Persekutuan dan Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar untuk mengenal pasti dan mempercepatkan kelulusan ini," ujar beliau lagi.
#pemaju #bina rumah #golongan berpendapatan rendah #PM Anwar Ibrahim
;