Pemaju, DBKL diminta pertimbang tawaran pindah yang lebih baik
Wan Syamsul Amly
April 11, 2017 14:00 MYT
April 11, 2017 14:00 MYT
Penduduk kawasan perumahan Lot 9714 Jinjang Selatan Tambahan mahu syarikat pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi pampasan sewajarnya untuk mereka berpindah dari kawasan tersebut bagi tujuan pembangunan.
Ahli Jawatankuasa Penyelesaian Perumahan Tetap Penduduk Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan Bargathalli berkata penduduk lot kawasan itu juga semakin risau kerana menerima notis untuk mengosongkan kawasan itu sebelum Jumaat ini.
Jelasnya, jumlah pampasan yang dijanjikan dalam surat pengosongan tapak itu tidak mencukupi selain tiada sebarang jaminan dibuat DBKL.
"Pihak DBKL tidak beritahu di mana letaknya rumah gantian penduduk. Fasa satu sudah pun dia ambil, fasa dua sedang diambil dan rumah panjang pun sudah diambil. Rumah gantian, dia tidak buat untuk kita lagi.
"Datuk bandar juga tidak ada pelan pembangunan kami, kalau dia tidak ada pelan pembangunan rumah gantian bagaimana pegawai DBKL boleh teruskan projek?
"328 laporan polis oleh persatuan penduduk sudah dibuat bagi meminta DBKL mengkaji balik. Kami
musykil dan curiga," katanya semasa sidang media selepas menghantar memorandum membatalkan notis pengosongan kediaman sebelum 15 Mac ini.
Penduduk berkenaan juga hairan notis pengosongan yang diterima adalah hanya melalui DBKL dan bukan daripada perintah mahkamah.
Sebelum ini, penduduk ditawarkan sewa sementara sebanyak RM600 sebulan sehingga rumah tinggal tetap siap dibina dan sagu hati perpindahan sebanyak RM1,000.
Penduduk memberi alasan kos sara hidup tinggi selain tidak mampu dan dapat menyewa sebuah rumah untuk sebuah keluarga di kawasan ibu kota dengan nilai RM600.
Memorandum diterima Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Razalia Khalid
Pada tahun 1973, lot perumahan 9714 itu telah menjadi kawasan perumahan di bawah pejabat Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan penduduk-penduduknya perlu membayar cukai tanah dan cukai pintu setiap tahun.