Pemain industri ternakan negara perlu lebih berani terokai bidang baharu - Dr Wan Azizah

Shuhada Abdul Kadir
September 26, 2019 16:43 MYT
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub (tiga, kiri) menunjukkan Setem Kenangan 125 Tahun sempena Sambutan 125 Tahun Jabatan Perkhidmatan Veterinar hari ini. - Foto Bernama
Seiring dengan perkembangan Revolusi Industri (IR) 4.0, industri ternakan negara khasnya ternakan ruminan tidak boleh hanya kekal bergantung kepada teknologi dari negara maju lain semata-mata.
Sebaliknya, pemain-pemain industri terutamanya para penyelidik perlu lebih agresif dan berani dalam menerokai bidang baharu yang lebih saintifik dan terkini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ianya selari dengan cabaran untuk mengangkat industri ternakan sebagai pemain penting dalam usaha ke arah ekonomi berpendapatan tinggi terutamanya kepada golongan sasar.
Kata beliau, transformasi itu wajar dilakukan segera bagi memastikan perkhidmatan veterinar sentiasa relevan terhadap keperluan pemain industri ternakan dan rakyat secara amnya.
“Saya yakin Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus melaksanakan dasar-dasar yang selari dengan perubahan di dalam masyarakat dan industri dari segi perkembangan pengetahuan dan teknologi berkaitan dengan pertanian.
“Cabaran seterusnya adalah untuk mengangkat industri ternakan menjadi pemain penting dalam usaha ke arah transformasi ekonomi berpendapatan tinggi dan dalam masa sama memastikan perkhidmatan veterinar sentiasa relevan terhadap keperluan warga ternak, industri ternakan dan rakyat secara amnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Sambutan 125 Tahun Perkhidmatan Veterinar di Dewan Persidangan dan pameran Freeport, A'Famosa, Alor Gajah pada Khamis.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain daripada keperluan untuk menyediakan daging dan tenusu, industri penternakan ruminan ini merupakan satu aktiviti ekonomi yang penting dalam pembangunan luar bandar.
Tambahnya, penternak juga perlu berani menerima teknologi baharu dan membuat pelaburan dalam skala yang lebih besar memandangkan kelebihan daya saing merupakan senjata yang paling sesuai dalam pasaran yang lebih terbuka.
Dalam pada itu ujarnya, beberapa subsektor menunjukkan pertumbuhan eksport yang menggalakkan termasuklah industri telur, ayam pedaging, itik dan sarang burung walit.
Ia dilihat pada tahun 2018, industri ternakan telah mencatatkan nilai pengeluaran pada tahap RM14.785 bilion dan menyumbangkan 14.86 peratus pada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian dan 1.11 peratus KDNK negara.
#Alor Gajah #Dr Wan Azizah Wan Ismail #ekonomi #Perdana Menteri #pertanian #Timbalan Perdana Menteri #Wan Azizah Wan Ismail
;