Pemain industri sangkal persepsi kos pelancongan di Langkawi mahal
Bernama
Ogos 16, 2024 16:56 MYT
Ogos 16, 2024 16:56 MYT
LANGKAWI: Pemain industri pelancongan, di sini menyangkal persepsi bahawa kos melancong ke pulau peranginan ini, adalah mahal atau tidak berbaloi jika dibandingkan dengan destinasi pelancongan lain khususnya, di selatan negara jiran.
Ketua Pegawai Eksekutif Tropical Charters Sdn Bhd Datuk Alexander Isaac berkata dengan perancangan yang baik, pelancong mampu mendapatkan penginapan, makanan dan menjalankan aktiviti lain di Langkawi pada harga yang murah dan berpatutan.
"Kita tidak boleh bandingkan Langkawi dengan Hatyai, Thailand, kalau nak buat perbandingan dengan Bali, Indonesia dan Phuket Thailand sebab kalau pergi sana memang lebih mahal dari Langkawi.
"Hatyai memang lokasi popular di utara tanah air, tapi Langkawi ada pelbagai yang ditawarkan terutama sebagai destinasi pelancongan untuk keluarga berbanding Hatyai," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pelancong yang datang ke Langkawi mempunyai pilihan sama ada mahu menginap dan makan di tempat yang mahal atau pun sebaliknya dan ia memerlukan mereka membuat perancangan dengan bijak.
Tambah Alexander, pelancong yang berhasrat berkunjung ke Langkawi juga dinasihatkan menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berlesen bagi mengelak mereka tertipu atau menghadapi kesulitan di kemudian hari.
"Dalam media sosial, ada banyak tawaran tetapi bila datang tak macam yang ditawarkan, jadi saya minta pelancong guna ejen yang berlesen, lebih selamat kerana kalau berlaku apa-apa pelancong boleh buat aduan dan ejen tersebut boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa," katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Adya Langkawi Syed Muhammad Firdaus Syed Putra berkata persepsi bahawa kos pelancongan ke Langkawi mahal diwujudkan oleh kelompok yang tidak faham mengenai pasaran di pulau peranginan ini.
Menurutnya, jika dibandingkan dengan destinasi pelancongan lain seperti Phuket dan Krabi di Thailand, kedua-duanya turut menawarkan harga penginapan yang mahal dan murah seperti di Langkawi.
"Jika kita melancong ke luar negara pun ada tempat yang mahal dan ada yang murah...jadi kalau kata Langkawi mahal sebenarnya itu salah," katanya yang turut menegaskan bahawa Langkawi memiliki keunikan tersendiri khususnya dari segi alam semula jadinya.
Katanya, selain mempunyai produk-produk pelancongan yang menarik, lokasi kawasan tumpuan di Langkawi juga sesuai untuk pelancongan keluarga kerana ia terbahagi antara kawasan hiburan dengan kawasan tarikan lain.
-- BERNAMA