Pemain industri pelancongan Terengganu diingatkan beri penekanan serius terhadap SOP
Bernama
Oktober 5, 2020 05:10 MYT
Oktober 5, 2020 05:10 MYT
KUALA TERENGGANU: Para pemain industri pelancongan di Terengganu diingatkan supaya memberi penekanan serius terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam mengendalikan pelancong bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri Ariffin Deraman berkata kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam memastikan semua penggiat industri pelancongan terus melaksanakan SOP kepada pelancong.
"Semua pihak terlibat perlu serius dalam memastikan isu-isu yang melibatkan kesihatan dan keselamatan pelancong di Terengganu menjadi keutamaan.
"Antara langkah pencegahan yang perlu diambil oleh pemain industri (pelancongan) adalah dengan memastikan pengunjung wajib mendaftar menerusi sistem aplikasi MySejahtera, Masuk.la, dan CHaSe Covid-19 yang akan memudahkan pengesanan maklumat pelancong yang berkunjung ke negeri ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu Ariffin berkata pada ketika ini jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu mencatatkan peningkatan yang sangat memberangsangkan berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dan ia dapat dibuktikan melalui laporan purata kadar penginapan oleh Persatuan Hotel Malaysia yang mencatatkan Terengganu di kedudukan ketiga tertinggi pada Jun 2020 dan kedua tertinggi pada Julai 2020.
Beliau berkata beberapa destinasi pelancongan di negeri ini turut mencatatkan peningkatan jumlah pelancong termasuk Pulau Redang yang menerima kedatangan 25,004 pelancong pada Ogos lepas berbanding hanya 11,640 pelancong pada bulan yang sama tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 114.8 peratus.
Pada Ogos lepas juga Pulau Perhentian mencatatkan 41,420 pelancong berbanding 13,940 pelancong pada Ogos 2019 (kenaikan 197.13 peratus) dan Zoo Kemaman merekodkan 28,740 pengunjung berbanding 6,852 pengunjung pada Ogos 2019 (kenaikan 319.4 peratus).
Bagi bulan yang sama, Taman Tamadun Islam mencatatkan 95,878 pengunjung berbanding 69,783 orang pada Ogos tahun lepas (kenaikan 37.4 peratus) manakala Lata Kolam Air Deru Ecopark menerima 23,956 pengunjung berbanding 16,006 pengunjung pada Ogos 2019 (peningkatan 49.67 peratus)
-- BERNAMA
#pemain industri
#pelancongan
#terengganu
#SOP
#COVID-19
#Pulau Perhentian
#Ariffin Deraman
#kerajaan negeri
#pbt
#pelancong
#kesihatan
#keselamatan
#pengesanan maklumat
#aplikasi
#MySejahtera
#Persatuan Hotel Malaysia
#kadar penginapan
#taman tamadun islam