Pemain industri pelancongan perlu beralih ke digital untuk tingkatkan produktiviti - MPC
Bernama
Disember 15, 2021 15:45 MYT
Disember 15, 2021 15:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pemain industri pelancongan perlu mengguna pakai pendigitalan bagi meningkatkan produktiviti dan memperoleh kelebihan daya saing dalam pasaran.
Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata cabaran dalam penggunaan teknologi dan digital menghalang pertumbuhan produktiviti dan pengembangan perniagaan di peringkat sektor dan firma apabila pandemik COVID-19 menambahkan lagi cabaran yang memerlukan transformasi pendigitalan dan teknologi yang lebih pantas.
"Dalam laporan World Competitiveness Yearbook (WCY) 2021, Malaysia berada pada kedudukan ke-22 bagi transformasi digital dalam kalangan syarikat. Ini adalah peningkatan daripada kedudukan ke-26 pada 2020.
"Malaysia menunjukkan perkembangan lebih baik tahun ini tetapi masih banyak lagi yang perlu dilakukan dalam penggunaan digital, terutamanya oleh perusahaan mikro, kecil dan sederhana. Direktori Penyedia Penyelesaian Digital (Direktori DSP) akan memudahkan agenda ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Direktori DSP untuk industri pelancongan itu telah dilancarkan pada 23 Nov bagi membolehkan syarikat pelancongan mengakses maklumat mengenai penyelesaian digital yang tersedia dan penggunaan maksimum direktori oleh pemain industri pelancongan dijangka meningkatkan penggunaan digital dalam industri untuk meningkatkan pertumbuhan sektor produktiviti
Pengerusi Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) Rohizam Md Yusoff berkata industri perlu melalui perubahan demi masa depan sektor dan mereka perlu menyesuaikan serta menerima pakai teknologi dan pendigitalan dengan pantas untuk operasi, penyampaian, komunikasi, pemasaran dan promosi.
"Industri mesti beralih ke dalam talian. Untuk berbuat demikian, Direktori DSP bagi pelancongan akan memudahkan pemain industri dengan menyediakan pilihan untuk kerjasama dan penglibatan dengan penyedia penyelesaian digital yang berkaitan.
"Ini memerlukan pemain industri untuk berinovasi dan mengguna pakai teknologi digital dalam meningkatkan kemampanan produk pelancongan dan menambah baik penyampaian perkhidmatan," katanya dalam kenyataan yang sama.
-- BERNAMA