Pemain bola sepak bawa kerambit masuk padang, kekasih ditahan

Sinar Harian
Ogos 9, 2024 08:10 MYT
Gambar tular di media sosial seorang lelaki dipercayai membawa masuk senjata tajam berupa kerambit semasa pergaduhan perlawanan bola sepak di padang KLFA, Desa Melati, Kuala Lumpur pada Ahad.
KUALA LUMPUR: Seorang pemain bola sepak amatur yang mengacukan senjata tajam dipercayai kerambit dalam insiden pergaduhan semasa perlawanan bola sepak baru-baru ini ditahan polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, lelaki warganegara tempatan berusia 22 tahun itu dan teman wanita warga asing berumur 21 tahun ditahan di sebuah rumah di Klang, Selangor pada jam 6.30 petang.
"Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku telah mengeluarkan senjata tajam iaitu kerambit bagi mempertahankan diri ketika kejadian tersebut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Lazim berkata, suspek lelaki ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat sehingga Isnin bagi membantu siasatan.
"Teman wanita suspek telah ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigeresen 1959/63 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pemain bola sepak disyaki membawa senjata tajam iaitu kerambit dalam satu kes pergaduhan yang berlaku di padang KLFA, Desa Melati di sini pada Ahad lalu. - Sinar Harian
#pemain bola sepak #kerambit #video tular #pergaduhan