Peluru mortar lama ditemukan di Tumpat

Bernama
Februari 2, 2025 14:45 MYT
Peluru berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki berusia 26 tahun yang sedang memancing di kawasan berkenaan kira-kira 2.28 petang. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Sebutir peluru mortar lama berukuran 61 milimeter (mm) ditemukan berhampiran kawasan peranginan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat, semalam.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata peluru berkenaan dijumpai oleh seorang lelaki berusia 26 tahun yang sedang memancing di kawasan berkenaan kira-kira 2.28 petang.
"Saksi awam iaitu seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun sedang memancing ikan di kawasan berkenaan sebelum menjumpai objek menyerupai peluru yang tersangkut di dalam tayar lama di kawasan berbatu berhampiran tebing sungai dan terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat.
"Sejurus menerima maklumat berkenaan, unit peronda MPV IPD Tumpat dan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dikerah ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Khairi berkata hasil siasatan mendapati peluru tersebut adalah jenis mortar yang telah lama serta berkarat dan proses memusnahkannya dilakukan di lokasi penemuan pada hari sama.
-- BERNAMA
#peluru mortar #bom lama #Tumpat #Pantai Sri Tujuh
;