Pelupusan sampah haram akan dihentikan segera - Azmin Ali
Rahimah Abdullah
Mac 12, 2016 19:53 MYT
Mac 12, 2016 19:53 MYT
Kerajaan Negeri Selangor akan memastikan aktiviti pelupusan sampah haram di negeri itu dihentikan segera.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan pihaknya sedang mengenal pasti tapak pelupusan sisa industri di kawasan yang tidak dibenarkan.
"Kita sedang mengenal pasti tapak pelupusan industri dan sebenarnya itu yang lebih besar berbanding sampah domestik.
"Kalau sampah domestik kita masih lagi boleh kawal dan uruskan," katanya selepas Program Half Day River Cruise Sungai Sepang Besar bersama Menteri Besar Selangor di sini hari ini.
Menurut Mohamed Azmin, pelbagai usaha dilakukan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti pembakaran terbuka termasuk pemantauan pada waktu malam.
"Saya sendiri telah terjah beberapa kawasan pada waktu yang berbeza dan saya tidak mahu perkara ini berterusan sebab itu ini adalah komitmen kami.
"Kami mahu memastikan masalah ini diselesaikan dan aktiviti ini perlu dihentikan segera," ujarnya.
Beliau mengakui banyak tapak pelupusan sampah haram yang kebanyakannya melibatkan sampah domestik dikesan di negeri itu.
Namun, katanya, usaha perlu dipertingkatkan untuk memantau aktiviti pembuangan sampah industri di lokasi yang tidak sepatutnya.
Justeru, Azmin mengingatkan pihak berkuasa tempatan agar sentiasa peka dengan masalah pengurusan sampah industri, termasuk meletakkan papan tanda amaran kepada orang awam.