Peluncur udara maut rempuh pokok: Cuaca, angin bukan punca insiden - Polis

Bernama
April 24, 2022 17:38 MYT
Bomba mengambil masa selama dua jam untuk menurunkan mangsa dari Subang Jaya itu berikutan ketinggian dan lokasi pokok berkenaan. - Gambar fail/ Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Faktor cuaca dan angin bukanlah punca berlaku insiden seorang para-peluncur maut selepas payung terjun dikendalikannya hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata insiden itu berlaku dipercayai berpunca daripada masalah teknikal yang belum dapat dikenal pasti sehingga mengakibatkan mangsa tersangkut di atas pokok pada ketinggian 12.19 meter.
"Siasatan awal polis mendapati mangsa membuat terjunan dua kali pada hari sama semasa kejadian dan siasatan lanjut mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah. Polis juga telah membuka satu kertas siasatan yang diklasifikasi sebagai mati mengejut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: Peluncur udara maut tersangkut atas pokok balak
Semalam, Mohammad Farhad Khalid, 44, maut selepas mengalami kecederaan ketika melakukan aktiviti luncur udara di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada 4.56 petang dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi.
Bomba mengambil masa selama dua jam untuk menurunkan mangsa dari Subang Jaya itu berikutan ketinggian dan lokasi pokok berkenaan.
Beberapa Orang Asli yang berada di lokasi kejadian terlebih dahulu memanjat pokok berkenaan dan mengikat mangsa menggunakan tali payung terjun bagi mengelak lelaki itu terjatuh.
Bagaimanapun, Mohammad Farhad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
-- BERNAMA
#paragliding #peluncur udara maut #rempuh pokok #Kuala Kubu Bharu
;