Peluncur paraglider cedera jatuh depan masjid
Sinar Harian
Januari 10, 2022 22:39 MYT
Januari 10, 2022 22:39 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang peluncur paragliding cedera akibat terjatuh berikutan angin kuat dalam kejadian di Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil pada Ahad.
Mangsa, lelaki berusia 34 tahun dari Banting, Selangor, dikatakan memulakan aktiviti sukan lasak tersebut pada jam 12 tengah hari di kawasan Pengkalan Hulu, Perak.
Ketua Polis Daerah Baling Superintenden Shamsudin Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika mangsa berada di ruang udara, secara tiba-tiba gagal mengawal luncur layar menyebabkan mangsa dibawa angin.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dalam pekarangan masjid.
"Anggota bertugas di kaunter aduan Balai Polis Kuala Ketil menerima panggilan pada jam 1.30 tengah hari Ahad dari orang awam memaklumkan ada mangsa jatuh menggunakan paraglider di pekarangan Masjid Kampung Padang Kulim, Kuala Ketil.
"Anggota kaunter aduan menghubungi Kinik Kesihatan Kuala Ketil untuk mendapatkan ambulans.
"Pada jam 1.55 petang mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya.
Menurut Shamsudin, mangsa cedera pada bahagian tulang namun keadaannya dilaporkan stabil.
Setakat ini katanya, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian.
Kejadian itu bagaimanapun tular di media sosial.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.