Pelukis terkenal, Yusuf Gajah meninggal dunia

Astro Awani
Mac 9, 2022 16:31 MYT
Pada 6 Mac lalu, menerusi akaun Facebooknya, Yusuf memaklumkan dirinya positif COVID-19. - Gambar FB Yusuf Gajah
KUALA LUMPUR: Pelukis terkenal Mohd Yusof Ismail yang lebih dikenali dengan Yusof Gajah meninggal dunia di kediamannya di Greenwood, Gombak pada awal pagi Rabu.
Perkara itu dimaklumkan oleh Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA) di Facebook selepas diberitahu ahli keluarga Yusuf.
Difahamkan, Yusuf meninggal dunia dalam tidur pada usia 68 tahun dan disedari isterinya awal pagi tadi. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampungnya di Negeri Sembilan.
Pada 6 Mac lalu, menerusi akaun Facebooknya, Yusuf yang pernah menghasilkan buku The Real Elephant memaklumkan dirinya positif COVID-19.
Buku The Real Elephant itu diterjemahkan ke pelbagai bahasa.
Yusof dijadualkan menyertai pameran Asia Art Show yang akan berlangsung pada Ogos.
Dia dikenali dengan karya naif dan abstrak yang banyak menonjolkan imej gajah. Ilustrasinya banyak disiarkan dalam penerbitan karya kanak-kanak.
Yusof memenangi pelbagai anugerah, antaranya dari Majlis Buku Negara bagi buku bergambar terbaik dan juga anugerah Noma Concours (ACCU) bagi ilustrasi terbaik.
Yusof dilahirkan di Johol, Negeri Sembilan 10 Februari, 1954.
#Yuusf Gajah #pelukis #artis #COVID-19 #seni naif #The Real Elephant #Asia Art Show
;