Pelukis pelarian pamer hasil seni minggu depan
Bernama
November 11, 2022 15:35 MYT
November 11, 2022 15:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pameran karya artis pelarian yang berada di Malaysia akan berlangsung minggu depan (18 dan 19 November) dalam pameran bertema 'Bridging Borders'.
Pameran anjuran organisasi sosial bukan keuntungan, Greater Action yang berpangkalan di Kuala Lumpur, akan mempamerkan lebih 120 karya seni asli hasil ciptaan 13 artis pelarian yang berbakat yang belajar sendiri, dari Afghanistan, Iran, Pakistan dan Syria.
Menurut kenyataan Greater Action, pameran itu adalah untuk membantu memotivasikan pelukis dengan menyediakan platform untuk mereka mempamer ciptaan artistik masing-masing serta membolehkan mereka meluahkan emosi secara bebas melalui seni.
"Bridging Borders adalah lebih daripada sekadar platform seni yang inovatif. Ia mempamerkan impian dan kebimbangan artis, menonjolkan persamaan emosi harian seperti cinta, ketakutan, kebahagiaan dan kesedihan, yang kita semua alami sebagai manusia - membantu kita mengatasi tembok, sempadan kita, (dan) perbezaan kita," kata pengasas Greater Action, Julie Das dalam kenyataan itu.
"Kami mahu dunia mengetahui bakat dan kemahiran mereka, dan menyokong mereka dalam semua cara yang mungkin untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Bagi Greater Action, kami berusaha untuk mewujudkan komuniti dinamik yang terdiri daripada lelaki dan wanita pelarian yang berdikari dan berkemahiran dengan memberi mereka akses kepada pelbagai program kami yang memberi tumpuan kepada latihan kemahiran, program pendidikan dan peluang untuk memperoleh mata pencarian," katanya.
'Bridging Borders' berlangsung di East Residence KLGCC Resort, No. 2, East 12 KLGCC, Jalan Bukit Kiara 1, Kuala Lumpur, pada 18 dan 19 November (10 pagi hingga 9 malam).
Untuk butiran lanjut, layari tapak sesawang Greater Action (https://shop.greateraction.org/); Instagram mereka (@greateractionart) atau Facebook (@greateraction).
--BERNAMA