Pelukis pelan didakwa hantar komunikasi jelik
Bernama
Mac 28, 2023 15:00 MYT
Mac 28, 2023 15:00 MYT
JOHOR BAHRU: Seorang pelukis pelan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik, tahun lepas.
Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga dan satu pertuduhan pindaan, Muhammad Firdaus Embong, 39, selaku orang kena saman (OKS) didakwa menggunakan aplikasi Facebook 'Firdaus Embong' untuk membuat dan memulakan penghantaran komunikasi berbentuk gambar dan teks yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Keempat-empat hantaran itu didakwa dibuat antara 17 Mac 2022 hingga 18 Ogos 2022 dan telah dilihat oleh pengadu di sebuah bank di Kulai pada 2 petang, 14 Sept 2022.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim membenarkan Muhammad Firdaus diikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil dan Pegawai Pendakwa MCMC Mai Zairani Zainal Abidin manakala Muhammad Firdaus tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA