Pelukis komik berunsur propaganda beri keterangan di Bukit Aman
Bernama
Oktober 19, 2019 15:47 MYT
Oktober 19, 2019 15:47 MYT
Polis telah mengambil keterangan pelukis komik bertajuk 'Inisiatif Jalur Dan Jalan - Meraih Manfaat Bersama' petang semalam di Bukit Aman manakala satu atau dua lagi individu berkaitan penerbitannya juga akan dipanggil dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, keterangan satu atau dua lagi individu tersebut perlu untuk pihaknya menentukan bentuk kesalahan yang disebarkan melalui penerbitan komik berkenaan yang didakwa berunsur propaganda.
"Buat masa ini, kita belum dapat tentukan bentuk kesalahan (disebar oleh komik itu). Namun, selepas satu atau dua individu ini memberi keterangan, kita akan bawa kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara pelepasan Konvoi Ride Bersekutu Vol 4 2019 (RBV#4) di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan laporan awal oleh bahagian keselamatan kementerian itu mendapati terdapat perkara yang tidak betul dalam komik berkenaan, sekali gus wajar untuk tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang menerbit dan mengedarkan komik tersebut.
Baru-baru ini, media melaporkan komik itu dipercayai diedarkan ke Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.
BACA: Komik propaganda: Pengarang, penulis akan dipanggil untuk beri keterangan - Muhyiddin
Mengulas mengenai penahanan 12 individu berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pula, Abdul Hamid menegaskan, ia dibuat bukan atas tekanan politik mana-mana pihak atau berkaitan isu kaum serta agama, sebaliknya berdasarkan kepada bukti pembabitan yang kukuh.
"Penyiasatan isu ini telah lama dilakukan, sejak November tahun lepas lagi. Akhirnya Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman mempunyai cukup bukti untuk ambil tindakan.
"(Disebabkan itu) Saya beri jaminan yang kita tidak tangkap (mana-mana individu) secara sembrono. Cukup 'masak' siasatan dan bukti kita, kita minta pandangan Jabatan Peguam Negara sebelum ambil tindakan. Tangkapan pula dibuat atas keputusan saya sendiri selepas berbincang dengan pegawai-pegawai saya," katanya.
Walaupun tangkapan tersebut dilakukan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), beliau memberi jaminan bahawa hak individu itu tetap dipelihara dan mereka ditempatkan di dalam bilik tahanan di kawasan yang mempunyai pengawasan kamera litar tertutup.
LTTE disenarai sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014 dan sehingga kini,12 individu termasuk dua anggota Dewan Undangan Negeri daripada DAP ditahan kerana disyaki terbabit menyokong dan menyalurkan dana untuk kumpulan itu.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak lagi membenarkan amalan pertukaran pegawai dan anggotanya yang bermasalah ke Pasukan Gerakan Am (PGA) melainkan mereka telah dikenakan tindakan serta diberi kaunseling sewajarnya.
Beliau berkata, amalan seumpama itu dilihat memberi kesan kepada pasukan keselamatan berkenaan kerana sikap pegawai dan anggota yang tidak diubah boleh memburukkan jabatan baharu yang disertai mereka.
"Golongan ini harus diberi kesedaran terlebih dahulu sebelum ditukar ke jabatan lain kerana ada (pegawai dan anggota yang menyeleweng) ditukar ke PGA dan mempengaruhi pula pasukan itu (untuk menyeleweng). Ini menyumbang kepada berlakunya jenayah rasuah yang menyebabkan kegiatan penyeludupan berleluasa di kawasan sempadan negara.
"Sejak 2014 hingga kini, seramai 10 pegawai dan 33 anggota pelbagai pangkat telah kita ambil tindakan antaranya ditahan kenaikan pangkat dan gaji, didenda dan ditempatkan di 'inactive post' sepanjang tempoh kaunseling," katanya.
Tambah beliau, pendedahan yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam yang menyatakan agensi itu mempunyai ribuan klip video berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan negara bukan untuk 'memalukan' pasukan keselamatan.
Sebaliknya kata Abdul Hamid, ia dilihat sebagai usaha bersungguh-sungguh SPRM untuk menambah baik pasukan berkenaan seterusnya meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap polis. - BERNAMA
#Bukit Aman
#Hamid Bador
#Inisiatif Jalur Dan Jalan - Meraih Manfaat Bersama
#Ketua Polis Negara
#komik
#Menteri Dalam Negeri
#Muhyiddin Yassin
#pelukis
#polis