Pelukis curi perhatian di kediaman Najib
Dania Zainuddin
Mei 23, 2018 14:18 MYT
Mei 23, 2018 14:18 MYT
Ketika pihak media berkumpul di Jalan Langgak Duta sejak minggu lalu, menunggu sebarang perkembangan siasatan terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, seorang pelukis mengambil kesempatan menghasilkan sebuah lukisan yang menggambarkan suasana di sini.
Poh Chuan Tan, 45 tahun, berkata dia hanya mahu menghasilkan lukisan sebagai tanda menyokong pihak media yang berkumpul setiap hari untuk menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat Malaysia.
“Pagi tadi saya sedang ‘scrolling’ (menatal) di Facebook, saya baca tentang wartawan yang berada di sini untuk membuat laporan.
“Memandangkan saya pun sekarang ada waktu lapang, dan kawan saya juga seorang jurugambar, saya fikir saya mahu datang sini dan melukis, sebagai tanda sokongan saya kepada anda semua,” kata Poh ketika ditemui media.
Poh berkata dia telah giat melukis sejak 20 tahun yang lalu dan kini merupakan tenaga pengajar di sebuah Pusat Seni di Kepong.
Ditanya pandangannya tentang perkembangan terkini siasatan bekas perdana menteri, dia mengakui telah mengikuti rapat kes tersebut.