Peluasan PAWE peringkat komuniti dapat kekang kepadatan Rumah Seri Kenangan - Nancy
Bernama
Februari 6, 2024 16:49 MYT
Februari 6, 2024 16:49 MYT
ALOR GAJAH: Inisiatif peluasan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di peringkat komuniti oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat mampu mengatasi kepadatan penghuni di Rumah Seri Kenangan di negara ini.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia juga sebagai usaha memastikan golongan warga emas terus produktif dan dapat menjalani kehidupan harian yang lebih selamat dan selesa
"Kita akui kapasiti di 10 Rumah Seri Kenangan sedia ada sudah tidak dapat menampung jumlah warga emas yang semakin meningkat terutama negara kita sedang menuju ke arah negara menua dan untuk itu kewujudan PAWE ini diharap dapat membantu golongan tersebut," katanya kepada media selepas melancarkan Direktori Organisasi Berasaskan Komuniti (CBO) KPWKM@ Alor Gajah di kompleks Penyayang Alor Gajah di sini hari ini.
Katanya walaupun terdapat banyak pusat penjagaan swasta namun tidak semua golongan warga emas mampu menghuni di situ, justeru kerajaan membenarkan lebih daripada satu PAWE diwujudkan di setiap Parlimen berbanding hanya satu sebelum ini.
"Kementerian mengalu-alukan komuniti yang ingin melaksanakan PAWE di lokaliti mereka memohon geran penubuhan PAWE dengan peruntukan tidak lebih daripada RM50,000 setahun," katanya menambah kerajaan juga membenarkan komuniti setempat menyusun aktiviti PAWE mengikut kesesuaian kerana tidak mahu ia kelak menjadi gajah putih.
"Disebabkan itu juga kita beri kebenaran untuk mereka menggunakan alamat Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di tempat mereka ketika membuat permohonan jika tiada premis atau tanah untuk melaksanakannya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nancy mahu agar lebih banyak kerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) dijalinkan bagi memperkasakan industri penjagaan kesihatan dalam usaha melatih individu berminat dalam penjagaan warga emas atau orang yang memerlukan termasuk kanak-kanak.
"Kita sedang merancang untuk melatih lebih ramai orang dalam bidang ini dan proses pelaksanaan dengan kerjasama pihak swasta dan badan bukan kerajaan sedang dilaksanakan selain mengenal pasti mekanisme yang lebih efektif untuk mengerakkan industri ini," katanya.
-- BERNAMA
#Nancy Shukri
#Pusat Aktiviti Warga Emas
#PAWE
#Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat