Peluang menang kereta dan hadiah lebih RM500,000 dalam Minggu Saham Digital
Ehsan A Marisah
November 18, 2020 11:36 MYT
November 18, 2020 11:36 MYT
MINGGU Saham Digital (MSD), adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) bermula dari 18 hingga 24 November ini tampil mempersembahkan barisan penceramah, personaliti terkenal, jadual program aktiviti, program hibur didik serta bual bicara menarik.
MSD yang dianjurkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu bakal disiarkan setiap hari di antara 12.30 tengah hari dan 10.30 malam melalui laman Facebook dan saluran YouTube MSD.
“MSD bertujuan mempamerkan syarikat-syarikat pelaburan PNB dan mendidik rakyat Malaysia dari semua peringkat usia mengenai kepentingan pelaburan dan perancangan kewangan.
“Rakyat Malaysia dijemput untuk sama-sama memeriahkan dan mengambil bahagian dalam MSD kali ini menerusi tanda pagar #MingguSahamDigital atau #Laburbersama di semua platform digital tersedia,” kata PNB dalam satu kenyataan di sini.
Menteri Kewangan yang juga Timbalan Pengerusi Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan merasmikan MSD pada 19 November ini, jam 3 petang.
Turut hadir sama dalam majlis perasmian Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Aziz serta Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn.
Pelbagai peraduan menarik boleh disertai peserta, antaranya peraduan pencarian harta karun secara maya, "Eh Mana Kod?" yang telah bermula dan akan berlangsung hingga jam 11.59 malam pada 30 November ini.
Hadiah hebat menanti pemenang, antaranya Ford Ranger 2.0L XLT Plus 4WD 10AT YM2020 bernilai RM130,000; Toyota Vios 1.5G (AT) bernilai RM90,000; motosikal Yamaha R25 bernilai RM21,500, lapan unit motosikal Honda Dash 125 S bernilai RM6,000; dan Raiz Wang Tunai bernilai RM250 untuk 10 pemenang.
Peserta harus mendaftar sekarang di laman web MSD untuk menjadi antara 2,500 peserta bertuah bertanding bagi memenangi e-baucar Lazada bernilai RM50 setiap satu.
Pemenang akan diumumkan dalam tempoh acara MSD berlangsung di antara 18 hingga 23 November ini melalui Facebook MSD.
“Penonton juga berpeluang memenangi e-voucher eksklusif dari Lazada bernilai RM46,750 melalui peraduan Live Trivia selama 15 minit pada hari biasa dan Live Trivia Bonanza pada hujung minggu yang berlangsung di Facebook.
“Antara program yang telah disusun, ialah Pass the Mic! yang merupakan konsert maya terbesar di Malaysia itu bakal menampilkan artis terkenal seperti K Clique, Akim Ahmad, Hael Husaini, Dayang Nurfaizah dan Aman Ra.
“Selain itu, siri webinar topikal interaktif melalui Cikgu CEO, peserta bakal pelajari pengetahuan dalam bidangan kewangan, keusahawanan dan pelaburan menerusi Siri Asia School of Business-Iclif MBA Masterclass.
“Turut ditampilkan program Jumpa di 118 dihoskan Awal Ashaari yang menjemput Ketua Pegawai Pelaburan, Hartanah PNB, Rick Ramli, dan Ketua Pegawai Eksekutif, PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad, Tengku Dato’ Ab Aziz Tengku Mahmud bakal berbicara tentang perkembangan pembinaan ikonik dan memberikan gambaran lebih mendalam tentang Merdeka 118, menara yang bakal menjadi menara tertinggi di Malaysia dan kedua di dunia.
"Mereka yang mengikuti konsert maya terbesar Pass The Mic! pada 21 November ini juga berpeluang memenangi Perodua Aruz bernilai RM75,000 dan 10 e-baucar Lazada bernilai RM500 setiap satu," katanya.
Maklumat lanjut mengenai semua peraduan dan jadual program yang lengkap, orang ramai boleh kunjungi laman web MSD di www.minggusahamdigital.com.my atau @minggusahamdigital di Instagram dan Facebook.
#Minggu Saham Digital
#MSD
#Permodalan Nasional Berhad
#PNB
#pelaburan
#kewangan
#selebriti tempatan
#hadiah
#personaliti
#artis tempatan
#digital
#online
#Cikgu CEO
#Pass The Mic
#peraduan
#kereta
#motosikal