Peluang lihat juraian hujan meteor di Malaysia mulai pukul 8 malam ini
Astro Awani
Mei 23, 2014 11:46 MYT
Mei 23, 2014 11:46 MYT
Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan juraian hujan meteor buruj Camelopardalis bermula pukul 8 malam ini.
Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dalam satu kenyataan, hujan meteor tersebut boleh dilihat dengan mata kasar kira-kira 100 hingga 400 meteor sejam.
Pegawai penyelidik Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Mohammed Redzuan Tahar bagaimanapun berkata, waktu yang tepat bagi melihat juraian meteor tersebut tidak dapat dipastikan.
Hujan meteor itu boleh dilihat di kawasan yang kurang mengalami pencemaran cahaya dan bergantung kepada keadaan cuaca langit malam kawasan itu.
Selain itu, kebarangkalian untuk menyaksikan meteor itu berkurangan sedikit kerana terdapat bulan sabit tua yang akan terbit kira-kira 3 pagi pada hari ini dan esok.
Justeru itu, orang ramai yang ingin melihat hujan meteor disaran berbuat demikian sebelum pukul 3 pagi kedua-dua hari berkenaan.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Planetarium Negara di talian 03-22734303 atau Observatori Negara Langkawi di talian 04-9668870.
Namun begitu pihak pengurusan Planetarium Negara tidak mengadakan sebarang aktiviti melihat kejadian hujan meteor pada 23 dan 24 Mei ini.