Peluang belia berinteraksi secara langsung dengan PM di YEF2023, 18 Mac ini

Bernama
Mac 9, 2023 20:33 MYT
Forum berkenaan juga akan menampilkan barisan Ahli Kabinet, tokoh-tokoh pemimpin dan pemain industri yang akan berkongsi perancangan dalam misi memperkasakan belia dan gagasan Malaysia MADANI. - Foto Facebook YEF 2023
KUALA LUMPUR: Golongan belia akan berpeluang berinteraksi secara langsung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Forum Memperkasakan Belia 2023 (YEF2023) yang bakal dianjurkan di ibu negara pada 18 dan 19 Mac ini.
Pengerusi Penganjuran YEF2023 Ruzaini Hamzah berkata forum berkenaan juga akan menampilkan barisan Ahli Kabinet, tokoh-tokoh pemimpin dan pemain industri yang akan berkongsi perancangan dalam misi memperkasakan belia dan gagasan Malaysia MADANI.
"Selain memberi peluang Perdana Menteri dan wakil kerajaan berkongsi perancangan mereka...YEF2023 juga akan menjadi platform untuk golongan belia menyuarakan pandangan, sekali gus memberikan pendekatan holistik dalam membina semula negara dengan belia sebagai pemacu reformasi ini," katanya dalam kenyataan.
Selain penampilan Perdana Menteri dalam segmen khas 'Temu Anwar di YEF 2023' pada hari kedua acara, forum itu turut disertai Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar serta bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
YEF 2023 juga bakal disertai tokoh belia Kamil Munim yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan dan tokoh korporat termasuk Pengarah Eksekutif Rinani Group Noor Azri Noor Azerai serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Aerodyne Group Kamarul A. Muhamed.
Selain sesi-sesi forum yang bakal membuka minda dan menyemarakkan semangat, YEF2023 turut menyediakan platform dan ruang yang membolehkan kumpulan belia berinteraksi secara terus dengan bakal majikan dan agensi kerajaan.
Antara tajuk-tajuk forum yang menarik termasuk 'Gig Economy and Freelancing - A Whole New Future of Work', 'Breaking Stigmas - Cultivating TVET Talents with the rise of IR 4.0' dan 'Empowering Youths Through Entrepreneurship and Social Entreprises'.
Dipersembahkan oleh Minds 4 Malaysia, penganjur utama untuk YEF2023 ialah Yayasan Go Strong Malaysia. Sehingga kini Yayasan Go Strong Malaysia telah pun melaksanakan pelbagai program pembangunan belia, khususnya untuk para belia yang berada di kelompok B40 serta mereka yang kurang berkemampuan.
YEF2023 yang bakal dianjurkan selama dua hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, terbuka untuk para belia, penuntut pusat pengajian tinggi, kolej atau lepasan sekolah, lepasan ijazah dan mereka yang baru bekerja.
Penganjuran YEF 2023 bertemakan 'Melakar Masa Depan' adalah susulan kepada Persidangan Maya Minds for Malaysia (M4M) 2021 bertujuan merangka bentuk pemikiran kerjaya berwawasan dalam kalangan generasi muda.
-- BERNAMA
#YEF2023 #Malaysia Madani #muda #generasi muda
;