Pelombong Bitcoin bebas tuduhan edar, miliki dadah

Bernama
Oktober 10, 2024 20:15 MYT
Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang pelombong mata wang kripto Bitcoin daripada lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lepas. - Foto hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang pelombong mata wang kripto Bitcoin daripada lima pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, empat tahun lepas.
Hakim K. Muniandy membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Low Ming Yan, 38, pada akhir kes pendakwaan.
"Mahkamah mendapati pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan dadah dimiliki tertuduh kerana terdapat dua individu lain iaitu wanita warga Vietnam yang berada bersama tertuduh dan mereka tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan untuk menafikan peranan mereka terhadap dadah itu.
"Mahkamah mendapati terdapat percanggahan keterangan oleh saksi pendakwaan. Oleh itu, mahkamah melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada kelima-lima pertuduhan," kata hakim itu.
Lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 898.41 gram di sebuah unit kondominium di Segambut pada 12.30 pagi, 9 Dis 2020.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Low turut berdepan empat pertuduhan memiliki dadah iaitu jenis methamphetamine berjumlah 45.75 gram, methylenedioxmethamphetamine (MDMA) (0.78 gram) dan ketamine (0.93 gram) di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta kondominium sama pada 6.30 pagi tarikh sama.
Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun dan juga sebat tidak kurang daripada tiga sebatan dan maksimum sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak manakala Low diwakili peguam Datuk C. Vignesh Kumar.
Seramai 10 saksi pendakwaan memberikan keterangan pada perbicaraan yang bermula tahun lepas.
-- BERNAMA
#pelombong bitcoin #bebas tuduhan #edar dadah #Low Ming Yan
;