Pelitup muka: Singapura longgarkan, Malaysia belum putuskan - Muhyiddin
Ridauddin Daud
Ogos 29, 2022 19:46 MYT
Ogos 29, 2022 19:46 MYT
PUTRAJAYA: Meskipun Singapura tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan bermula hari ini, namun Malaysia masih lagi belum memutuskan untuk melonggarkan arahan tersebut.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walaupun negara jiran berbuat demikian namun tidak semestinya Malaysia harus melakukan perkara sama kerana situasi kedua-dua negara adalah berbeza.
"Saya sendiri bangkitkan tadi, saya sebutkan kalau semua dah okay, kenapa nak pakai pelitup muka lagi. Tapi dia kata mungkin perkara itu akan dilihat dengan lebih terperinci.
"Bukan kerana Singapura buat, kita kena buat kerana Malaysia, situasinya mungkin tak hampir sama. Jadi apa pun, sekarang ini saya fikir sudah ada kebiasaan baharu untuk penduduk di negara kita, baik warga asing atau tempatan untuk memakai pelitup muka tanpa dipaksa dan sebagainya.
"Kalau itu dah jadi kebiasaan, mungkin ada baik juga, Kementerian kata kita dah tak perlu lagi pakai tapi kalau nak pakai kerana nak rasa lebih selamat, boleh pakai.
"Katalah itu, dinasihat begitu. Tapi ini bukan di bidang MPN tapi kita berikan pandangan dan saya serahkan kepada KKM untuk mempertimbangkan perkara itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN di sini pada Isnin.
Menurutnya, Kementerian Kesihatan turut membentangkan laporan terkini COVID-19 dan berdasarkan laporan itu, Muhyiddin menzahirkan ucapan tahniah terhadap semua usaha dilakukan sebelum ini.
"Tadi ada dibentangkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan tentang laporan terkini COVID-19.
"Saya fikir kita perlu rakam tahniah kerana langkah-langkah yang bermula sejak 2020 sehingga sekarang sudah menunjukkan kesan yang baik. Cuma yang berbaki tinggal, pakai pelitup muka sahaja," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan penduduk Singapura tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup muka di dalam bangunan, mulai Isnin.
Bagaimanapun, mereka masih perlu memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam dan di tempat berisiko tinggi seperti kemudahan kesihatan.