Pelitup muka jadi sampah baharu, makin banyak dibuang merata

Fareez Azman
September 13, 2020 18:56 MYT
Tengku Zatashah bersama sukarelawan dalam program pembersihan pantai di Morib pada Ahad. - Gambar: Astro AWANI
Ketika kerajaan mewajibkan setiap rakyat di negara ini memakai topeng pelitup muka dan pakaian perlindungan diri (PPE) berikutan ancaman pandemic COVID-19, masalah lain pula kini mencetus kebimbangan.
Akibat kurang kesedaran sivik terhadap usaha memelihara alam persekitaran menyebabkan segelintir rakyat Malaysia kini bebas membuang pelitup muka di merata-rata tempat.
Antara lokasi pembuangan alat perlindungan diri itu dikesan di kawasan persekitaran pantai.
Astro AWANI yang mengikuti program pembersihan pantai bersama Puteri Sultan Selangor, Datin Paduka Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah di pantai Morib pada Ahad melihat sendiri bagaimana tabiat buruk segelintir masyarakat terhadap kegemaran membuang sampah merata-rata termasuk pelitup muka.
Turut menyertai program itu, NGO Reef Check Malaysia serta Trash Hero daerah Banting.
Menurut Ketua Trash Hero Daerah Banting, Ridzuan Lim, selain puntung rokok, botol plastik dan lampin bayi, pelitup muka menjadi antara barangan yang banyak dibuang persekitaran pantai Morib.
"Boleh dikatakan sekarang benda baharu yang kami jumpa ialah pelitup muka dan sarung tangan yang dibuang merata-rata,” katanya.
Program pembersihan pantai itu turut disertai kira-kira 60 peserta dari Trash Hero Daerah Banting yang telah menganjurkan lebih 30 program pembersihan pantai.
Sementara itu, bercerita mengenai inisiatif yang dirintisnya, Tengku Zatashah berkata, program yang bermula sejak 2017 itu amat penting dalam membantu membersihkan alam sekitar yang sering diabaikan oleh orang ramai.
"Saya menyertai program seperti ini setiap tahun… sekurang kurangnya dua atau tiga kali di kawasan berbeza seperti di Selangor, Langkawi dan Pulau Redang.
“Amat penting untuk membersihkan pantai kerana inisiatif ini bukan sahaja mencegah pembuangan sampah, sebaliknya meningkatkan kesedaran orang awam,” kata Tengku Zatasha.
Untuk tahun ini, beliau melancarkan kempen 'No More Litter Because We Care’ selepas menyedari kuantiti sampah yang dibuang sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya topeng pelitup muka dan sarung tangan getah meningkat.
#Astro Awani #Bersih #Kesedaran #Langkawi #NGO #pelitup muka #PKP #rakyat #sampah #Sultan Selangor #Sultan Sharafuddin Idris Shah #Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah
;