Pelitup muka di kawasan terbuka tidak lagi wajib
Astro Awani
Mei 1, 2022 08:45 MYT
Mei 1, 2022 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa hari ini, 1 Mei, pemakaian pelitup muka di luar bangunan dan kawasan terbuka tidak lagi diwajibkan, tetapi atas pilihan individu.
Bagaimanapun, pemakaian pelitup muka adalah wajib apabila berada di dalam bangunan dan pengangkutan awam termasuk e-hailing.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin ketika mengumumkan perkara itu pada Rabu memaklumkan, pelitup muka tidak diwajibkan di luar bangunan selepas mengambil kira risiko penularan jangkitan yang rendah dalam keadaan di mana ventilasinya adalah baik.
Beliau bagaimanapun menggalakkan pemakaian pelitup muka di luar bangunan terus diamalkan terutama apabila berada di kawasan ramai orang dan sesak seperti bazar Ramadan, pasar malam dan stadium.
Ia sebahagian kelonggaran langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 di negara ini selaras dengan fasa peralihan ke endemik.
Selain itu, Khairy berkata pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan di dalam bangunan seperti gedung membeli-belah serta tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 akan diambil terhadap individu yang gagal mematuhi arahan itu.
Beliau juga berkata prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal di antara individu atau kumpulan kini tidak lagi diperlukan selepas mengambil kira semua aktiviti telah dibenarkan dengan penggunaan 100 peratus kapasiti ruang.