Pelitup muka 'cabaran' guru bantu pelajar masalah pendengaran
Bernama
Jun 13, 2021 08:43 MYT
Jun 13, 2021 08:43 MYT
KUANTAN: Mengajar seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 berkeperluan khas yang mengalami masalah pendengaran tatkala pemakaian pelitup muka diwajibkan bagi membendung penularan wabak COVID-19, sememangnya menjadi cabaran dan pengalaman berharga buat seorang guru Zainurah Muhamad.
Pelajarnya Hanees Daliela Hasbullah, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom di sini, mengalami masalah itu dipercayai akibat demam panas semasa berusia lima tahun.
"Selain perlu menggunakan alat bantuan pendengaran, Daliela (panggilan anak muridnya) juga membaca gerakan bibir untuk memahami apa yang diajar dan sudah tentu pelitup muka menjadi penghalang terbesar untuk dia berbuat demikian.
"Disebabkan itu, saya membuat video yang dirakam seorang diri tanpa mengenakan pelitup muka supaya Daliela boleh membaca gerakan bibir saya untuk perkara yang sukar difahaminya," katanya guru Bahasa Melayu itu kepada Bernama semasa ditemui di rumahnya di Aspa Cottage di sini pada Sabtu.
Usaha itu ternyata membuahkan hasil apabila Zainurah menerima berita gembira bahawa Hanees Daliela merupakan calon berkeperluan khas paling cemerlang bagi SPM 2020 di Pahang dengan memperoleh 2A+ termasuk subjek Bahasa Melayu, daripada 11 mata pelajaran yang diambilnya.
Zainurah berkata Hanees Daliela juga tidak pernah menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk sama-sama bersaing dengan rakan sekelas yang normal, biarpun hampir setiap bulan 'ketinggalan kelas' kerana perlu menghadiri janji temu doktor.
"Ada masanya, Daliela mengadu telinganya berdarah atau alat bantuan pendengaran berdesing menyebabkan dia tidak mendengar apa yang diajar. Paling saya ingat, pernah alat bantuan itu rosak dan hampir sebulan untuk dia menunggu ganti. Dalam tempoh itu, Daliela masih juga ke kelas dan kami (guru-guru) mengajar dengan nada suara kuat supaya dia boleh mendengar sambil membaca gerakan bibir.
"Jika sudah penat menjerit, kami terpaksa minta dia untuk berpindah ke hadapan. Dia tidak mahu menganggu konsentrasi rakan sekelas, maka jika dia masih tidak mendengar, dia hanya akan datang bertemu kami selepas kelas untuk mengakui dia memerlukan bantuan berkaitan topik yang baru diajar," katanya.
Mengimbas kenangan mereka, Zainurah berkata beliau masih mengingati saat Hanees Daliela memaklumkan bahawa dia akan 'menghadiahkan A+ kepadanya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu' semasa beliau menjadi guru kelas pelajar berkenaan di tingkatan empat, dan 'hadiah' itu sudah pun berjaya ditunaikan.
Ditanya sama ada beliau berdepan dengan cabaran baharu melaksanakan Pengajaran dan. Pembelajaran di Rumah (PdPR) apabila sekolah terpaksa ditutup kerana ancaman COVID-19, Zainurah mengakui perlu membiasakan diri menggunakan aplikasi Google Meet sebagai 'medium baharu kelas' manakala Telegram menjadi perantaraan kepadanya untuk menghantar latihan kepada pelajar.
"Jika ada subjek sukar difahami, saya akan membuat rakaman video dan hantar ke Telegram dan murid boleh memainkannya berulang kali sehingga faham," katanya yang sedia untuk dihubungi pada bila-bila masa jika pelajar berdepan masalah.
Sementara itu, Hanees Daliela yang tinggal di Kampung Pasir Garam, Beserah di sini mengakui dirinya amat terhutang budi dengan jasa guru-gurunya yang tidak pernah jemu dengannya walaupun 'kerap menganggu' di luar waktu kelas.
"Selain itu, kawan-kawan juga sangat membantu. Mereka tahu masalah saya, jadi jika perlu mereka akan mengulangi apa yang diperkatakan cikgu. Tinggal di asrama sejak tingkatan satu juga memudahkan saya untuk lebih fokus dengan pelajaran.
"Setiap hari saya pastikan tidur sekitar 10 malam kerana mahu bangun pada 4 pagi untuk mengulangkaji kerana suasana sunyi dan badan masih segar," kata anak kedua daripada lima beradik yang berhasrat menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan kimia.
Hanees Daliela berkata dia mula memakai alat bantuan pendengaran semasa di Tahun Tiga, selepas gurunya menasihatkan ibu bapanya Hasbullah Yusoff, 49, dan Nik Rokiah Nik Hassan, 45, membawanya menjalani pemeriksaan kerana dia seolah-olah tidak mendengar arahan yang diberikan di dalam kelas.
Walaupun dikategori sebagai murid berkeperluan khas, Hanees Daliela enggan diberikan sebarang keistimewaan sebaliknya suka mencabar diri mengambil tanggungjawab sebagai seorang pemimpin termasuk menjadi pengawas dan pengerusi kelab di sekolah.
-- BERNAMA