Pelita kekabu jadi tarikan pengunjung di Terengganu
Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
April 27, 2022 07:00 MYT
April 27, 2022 07:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Lazimnya buah kekabu matang digunakan untuk membuat tilam atau bantal dan penggunaanya amat popular sehingga ke hari ini.
Bagaimanapun, tidak ramai yang tahu bahawa masyarakat zaman dahulu menggunakan buah kekabu muda untuk dijadikan pelita bagi menerangi kegelapan malam.
Menurut Mohd Zailani Mohd Nor, 46, dari Kampung Alor Keladi, Jerteh, penggunaan pelita kekabu amat terhad berikutan ia bermusim dan tumbuh meliar di kawasan tertentu.
"Uniknya ini sebabnya di Terengganu tiada, orang tak kenal pelita kekabu, jadi kita buat sini bagi ramai orang kenal.
"Dulu kekabu ini isinya buat bantal sahaja, sekarang ini boleh buat pelita, jadi menariklah," katanya.
Mohd Zailani berkata, pembuatan pelita kekabu hanya menggunakan putik buah muda yang dipotong dua dan digerudi untuk mengeluarkan isinya sebelum ruang kosong itu diisi dengan minyak tanah dan isi kekabu dijadikan sumbu.
Jelasnya, dia mengambil inisiatif mengadakan demonstrasi pembuatan pelita kekabu pada program Pelita Raya Beautiful Terengganu 2022 untuk membangkitkan nostalgia keunikan pelita buah kekabu muda.
Katanya dia membawa hampir 2,500 buah kekabu untuk dijadikan pelita dan diagihkan kepada pengunjung yang datang ke program itu.
Nurul Asma Mazlan, 36, dan Ainul Marizal Zawawi, 25, yang pertama kali melihat pelita kekabu mengakui tertarik kagum dengan cara pembuatannya.
"Biasanya kalau macam pelita ini kita pasang waktu hari raya, sebelum raya itu pun pelita yang biasa itulah kita beli dekat kedai.
"Ini pertama kali tengok pelita kekabu, pertama kali dengar. Tak sangka, kekabu tu kita tahu buat bantal. Sekarang ini pun sudah jarang jugalah kita jumpa bantal kekabu sebab semua guna bahan moden," kata Nurul Asma.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata program tahunan anjuran Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu itu mencatat kedatangan hampir 20,000 pengunjung.
Menurut Ariffin, program yang diadakan di Kampung Budaya Terengganu, di Kompleks Muzium Negeri itu memaparkan pelbagai replika pelita unik dan menarik sempena Ramadan membabitkan penyertaan pejabat daerah seluruh Terengganu.